GEORGE TOWN, Jan 2 – Laporan kes baharu COVID-19 semalam yang mencecah 226 kes adalah hasil saringan berterusan yang dijalankan sejak 9 Disember 2020 dalam kalangan warga asing dekat tapak-tapak pembinaan dan kilang-kilang di seluruh negeri Pulau Pinang.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan bahawa daripada jumlah 226 kes, sebanyak 185 laporan adalah daripada kluster-kluster, termasuk 110 kes membabitkan kluster terbaharu iaitu Kluster Rawa Akasia. Sehingga semalam, sebanyak sembilan (9) kluster aktif dilaporkan di negeri Pulau Pinang.

Dalam pada itu, peningkatan kes positif COVID-19 di negeri Pulau Pinang adalah dijangka memandangkan JKNPP telah meningkatkan ujian saringan dalam kalangan pekerja asing dan kontak rapat serta komitmen majikan dalam melaksanakan Program Saringan Prihatin PERKESO yang mewajibkan semua pekerja warga asing menjalani ujian saringan di klinik-klinik berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Justeru, rakyat di negeri Pulau Pinang diminta untuk terus kekal bertenang dan jangan alpa untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12 dan Mukim 13. Sebagai rekod, sejumlah 135,490 pekerja warga asing yang berdaftar dengan PERKESO, dan akan menjalani ujian saringan secara berperingkat. Majikan dimohon untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan serta bertanggungjawab untuk sama-sama memutuskan rantaian perebakan wabak COVID-19 di tempat kerja secara menyeluruh.

Pocket News