Statement In Bahasa Malaysia – Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah mengeluarkan arahan larangan untuk aktiviti penyembelihan ayam di pasar-pasar awam Majlis berikutan dasar dan pekeliling yang dikeluarkan Oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2006 dan 2014. Dasar tersebut yang diperkuatkuasakan hanya membenarkan penjualan ayam bersih bagi memastikan keadaan pasar adalah sentiasa bersih, pembuangan sisa dengan baik dan mengurangkan kacauganggu daripada lipas, lalat dan tikus.

Untuk memastikan keselamatan makanan turut dijaga, peniaga-peniaga ayam adalah diperlukan untuk menyediakan chiller di gerai masing-masing bagi menjaga kesegaran daging ayam dan memastikan daging ayam bersih bebas daripada pembiakan bakteria yang akan memudaratkan kesihatan orang awam. Satu perjumpaan Gabungan Peniaga Ayam Pulau Pinang yang dipengerusi oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah diadakan pada 4 Februari 2021. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Tuan Mohd Zakuan bin Haji Zakaria, Ahli Majlis-Ahli Majlis dan pegawai-pegawai Majlis.

Pihak Majlis telah mendengar keluhan dan kebimbangan warga peniaga. Penjelasan telah diberikan kepada wakil peniaga ayam berkenaan dengan sebab-sebab dasar tersebut ditetapkan. Turut dibincangkan adalah mengenai bantuan yang pihak Majlis sedia hulurkan kepada peniaga-peniaga. Perjumpaan tersebut telah menunjukkan hasil yang agak positif. Pihak JHEAIPP telah memaklumkan kepada peniaga-peniaga bahawa terdapat dua belas (12) pusat penyembelihan ayam yang mempunyai pensijilan Halal di seluruh negeri Pulau Pinang. Empat (4) daripadanya turut memperoleh pensijilan Veterinary Health Mark (VHM) dan bakinya sedang dalam proses untuk mendapatkan pensijilan tersebut.

Walaupun pensijilan VHM hanya diwajibkan untuk sektor pengeksportan, tapi Majlis menggalakkan peniaga-peniaga ayam untuk memperoleh bekalan ayam bersih daripada mana-mana pusat penyembelihan yang mempunyai sijil VHM kerana kualiti dan kebersihan bekalan ayam adalah lebih terjamin. Memandangkan permintaan bekalan ayam adalah amat tinggi semasa musim perayaan khususnya pada Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, Majlis telah bersetuju untuk menangguhkan tindakan penguatkuasaan sehingga bulan Mei 2021 atas permintaan Gabungan Peniaga Ayam Pulau Pinang.

 

News