Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah menganjurkan Pertandingan Reka Cipta Pelitup Muka (Design Your Mask – Mask Design Contest) dari 13 November 2020 hingga 29 November 2020 dan keputusan pertandingan telah dimuktamadkan pada 6 Disember 2020. Majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh YB Soon Lip Chee, EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Lembaga PYDC dan Dr. Gwee Sai Ling, Pengurus Besar PYDC.

YB Soon Lip Chee mengucapkan tahniah kepada semua peserta kerana memberikan sokongan yang mantap dengan mengambil bahagian dalam Pertandingan Reka Cipta Pelitup Muka anjuran PYDC. Tambah beliau, pertandingan tersebut sememangnya dapat memperkasakan bakat dan kreativiti golongan belia dalam bidang seni. “Selain mencerminkan bakat mereka dalam bidang seni kreativiti melalui pertandingan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga berharap ia dapat menyemarakkan kesedaran tanggungjawab masyarakat negeri Pulau Pinang tentang pemakaian pelitup muka sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19,” jelasnya.

YB Soon telah menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PYDC adalah komited untuk membangunkan golongan belia di negeri Pulau Pinang dengan pelbagai inisiatif yang mampu mencetuskan mereka ke arah pembangunan seimbang dan mampan serta menjadi modal insan bertaraf dunia yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi tetapi juga fleksibel dan kreatif. Pemenang untuk pertandingan ini telah menerima hadiah berbentuk wang tunai bernilai RM 500 bagi johan, RM 300 bagi naib johan, RM 150 bagi tempat ketiga dan RM 100 bagi dua pemenang saguhati masing-masing.

Pemenang-pemenang bagi Pertandingan Reka Cipta Pelitup Muka (Design Your Mask – Mask Design Contest) adalah seperti di bawah:

Johan – Ooi Li Xin
Naib Johan – Ong Theng Theng
Tempat Ketiga – Lee Wen Xuan
Saguhati 1 – Nurain Amira Binti Mohd Nazli
Saguhati 2 – Kirrthana a/p JayaKumar

Dr. Gwee Sai Ling berkata, PYDC telah mencetak sebanyak 200 keping pelitup muka yang direka cipta oleh Johan pertandingan ini dan 100 keping pelitup muka yang direka cipta oleh Naib Johan dan Tempat Ketiga masing-masing. Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan hasil-hasil pelitup muka tersebut boleh menghubungi PYDC melalui Facebook rasmi PYDC.

News